Monday, 14 March 2016

TUGASAN 2 INDIVIDU SADE1013

SADE1013 ASAS KEUSAHAWANAN

Tajuk Tugasan : 
Huraikan dengan terperinci tentang Industeri Pelancongan di Malaysia.

Disediakan Untuk: En. Shahrol Aman Bin Ahmad.



1.0        Pengenalan

Istilah Pelancongan bukanlah sesuatu yang baru bagi sesebuah negara. Sejak dahulu lagi, industri pelancongan telah menjadi nadi penggerak ekonomi utama bagi beberapa buah negara. Dalam era globalisasi kini, kebanyakan negara dunia semakin berlumba-lumba dalam memajukan sektor pelancongan masing-masing demi tukaran matawang asing yang lebih lumayan. Negara kita Malaysia amat bertuah kerana memiliki alam semula jadi yang indah, unik dan pelbagai seperti hutan hujan tropika, banjaran gunung, iklim dan cuaca yang tidak melampau, pulau dan pantai serta pelbagai spesies flora dan fauna. Pelancongan di Malaysia telah menjadi suatu bidang pelaburan baru yang mampu memacu pertumbuhan industri-industri lain yang berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia dalam mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

Pelancongan mempunyai pelbagai maksud mengikut perspektif yang berbeza. Perkataan tourism itu sendiri berasal daripada perkataan Latin iaitu tornare dan juga Greek iaitu tornos yang membawa maksud pergerakan dalam suatu bulatan. Justeru itu, wujudnya beberapa definisi lain yang cuba memberi penjelasan mengenai pelancongan. Antaranya ialah Leiper (1981) yang mendefinisikan pelancongan sebagai, “Suatu sistem terbuka yang mempunyai hubungan dengan persekitaran yang luas, elemen manusia iaitu pelancong, elemen kawasan iaitu kawasan asal, kawasan persinggahan dan kawasan destinasi yang terpilih, elemen ekonomi iaitu industri pelancongan dan elemen dinamik iaitu terdiri daripada individu yang mengembara bagi tujuan berehat jauh dari tempat asal mereka selama lebih kurang satu hari”. Menerusi pengertian yang mendalam ini, ia menekankan lima elemen yang terlibat dengan industri pelancongan iaitu persekitaran, manusia, kawasan, ekonomi dan dinamik.

Definisi istilah pelancongan yang paling tepat masih terus dicari, ini mengakibatkan wujud pelbagai pemahaman dan pengertian yang berbeza. Masih ramai yang cuba mengetengahkan definisi pelancongan mengikut sudut pandangan masing-masing. Akhirnya McIntosh dan rakan-rakan (1995) telah membariskan suatu definisi pelancongan yang baik dan lengkap serta diguna pakai sehingga kehari ini iaitu “Pelancongan adalah suatu fenomena dan hubungan yang wujud akibat daripada interaksi di antara pelancong, ahli perniagaan, kerajaan dan komuniti selaku tuan rumah dalam proses menarik pelancong dan pelawat asing”. Menerusi definisi ini, kita dapat membuat kesimpulan bahawa pelancongan ialah suatu lawatan, kunjungan atau pengembaraan ke suatu tempat yang lain dalam tempoh semalam, bagi tujuan berhibur, berehat,berniaga dan sebagainya. Malah, definisi ini juga menekankan wujudnya empat elemen utama dalam pengertian pelancongan iaitu pelancong, perniagaan, kerajaan dan tuan rumah. Keempat-empat elemen ini diperlukan dalam mewujudkan industri pelancongan. Sebagai contoh, apabila seseorang individu itu pergi melancong, bermakna beliau adala seorang pelancong yang memerlukan perkhidmatan seperti penginapan dan pengangkutan. Pelancong semestinya akan melancong ke destinasi yang mana ekonominya akan dikawal oleh kerajaan dan secara tidak langsung juga, pelancong akan mewujudkan hubungan dengan tuan rumah selaku komuniti destinasi pelancongan tersebut.

Pengertian istilah pelancongan mengikut WTO atau World Tourism Organization pula ialah, “Aktiviti pengembaraan seseorang individu ke suatu tempat keluar daripada persekitaran asalnya dan menetap di situ tidak lebih daripada setahun bagi tujuan rehat, perniagaan dan sebagainya”. Menerusi pengertian ini, secara tidak langsung kita dapat mengkaji dengan lebih mendalam apa yang dimaksudkan dengan pelancongan antarabangsa, pelancongan dalaman, pelancongan domestik dan pelancongan kebangsaan.

1.1       Pelancongan Antarabangsa.
Pelancongan antarabangsa melibatkan dua aspek pelancongan iaitu melancong dalam negara dan melancong luar negara. Melancong dalam negara merujuk kepada lawatan ke destinasi tuan rumah oleh individu yang berasal dari destinasi lain. Sebagai contoh Malaysia sebagai tuan rumah menerima lawatan daripada pengunjung yang berasal dari China. Pelancong China yang datang ke Malaysia dikenali sebagai pelancong dalam negara. Melancong luar negara pula merujuk kepada lawatan individu ke destinasi lain selain dari tempat asal mereka. Contohnya pelancong Malaysia yang berkunjung ke London dan New Zealand dikenali sebagai pelancong luar negara.


1.2       Pelancongan Dalaman.
Pelancongan dalaman pula merujuk kepada kunjungan atau pengembaraan individu ke destinasi yang sama dalam kawasan destinasi asal mereka. Sebagai contoh, bangsa Johor yang berasal dari Johor Bahru membuat lawatan ke Tanjung Balau, juga terletak dalam negeri Johor.

1.3       Pelancongan Domestik.
Pelancongan domestik dapat dirujuk kepada pelancongan dalaman dan dalam negara. Contohnya, sebagai rakyat negeri Melaka, kita menerima kunjungan daripada rakyat bangsa Johor. Pelancong Johor itu dikenali sebagai pelancong domestik. Oleh itu, pemasaran pelancongan yang perlu diberi penekanan ialah kemudahan penginapan dan tempat tarikan negeri Melaka.

1.4       Pelancongan kebangsaan
Pelancong kebangsaan pula merujuk kepada pelancongan dalaman dan luar negara. Sebagai contoh, kunjungan kita sebagai rakyat negeri Melaka ke negeri Johor dan kunjungan kita ke negara lain contohnya Belanda, Indonesia, Thailand dan lain-lain negara. Maka pemasaran pelancongan yang perlu ditekankan ialah pengangkutan dan agensi pengembaraan.


2.0        Tahap Pembangunan Industri Pelancongan

Jabatan pelancongan mula ditubuhkan di bawah Kementerian Perdagangan Malaysia pada tahun 1959. Pada era tahun 1960an, sektor pelancongan negara belum memainkan peranan penting terhadap perkembangan ekonomi negara. Kerajaan masih memberi tumpuan kepada sektor hasil bumi seperti bijih timah dan getah. Keluaran Negara Kasar (KNK) pada tahun 70-an telah menunjukkan sumbangan sektor hasil bumi sebanyak 45%. Namun begitu, sektor pelancongan dilihat mengalami perkembangan yang positif pada era tahun 70an. Ketibaan pelancong ke Malaysia semakin meningkat dengan kadar peningkatan sebanyak 14.4% setahun. Ini merupakan hasil usaha sama pihak kerajaan dan swasta yang berganding bahu meningkatkan lagi kemudahan-kemudahan asas untuk kegunaan para pelancong.
Menerusi Rancangan Malaysia ke-2 (1971-1975), kerajaan telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Ianya bertujuan mencapai perpaduan nasional melalui pembasmian kemiskinan serta merapatkan jurang perbezaan antara kaum. Pada tahun 1972, Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada Persidangan Kawasan Persatuan Pelancongan Pasifik (PATA). Menerusi persidangan tersebut, kerajaan telah menyedari kepentingan dan peluang ekonomi yang terdapat dalam sektor pelancongan. Sehubungan itu, kerajaan telah menubuhkan Kemajuan Pelancongan Corporation (TDC) pada tahun 1972 yang bertujuan untuk menunaikan dasar pembangunan Perlancongan Pertama Negara yang lebih dikenali sebagai Pelan Pembangunan Pelancongan 1975.

Sektor pelancongan dilihat terus berkembang baik pada awal tahun 80-an. Pada saat ini, negara sudah aman daripada ancaman komunis dan ancaman luar.  Ketibaan pelancong luar ke Malaysia semakin meningkat pada setiap tahun. Sokongan tidak berbelah bahagi oleh kerajaan terhadap sektor perlancongan juga dapat dilihat menerusi penubuhan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan pada tahun 1987.

Dalam Rancangan Malaysia ke-5 (RMK-5; 1986-1990), kerajaan telah mengambil tindakan pantas mempertingkatkan segala kemudahan-kemudahan asas untuk para pelancong diseluruh negara. Antaranya ialah menaiktaraf jeti pelancongan di Kuala Tahan, Pulau Langkawi dan Pulau Tioman. Selain itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi turut dinaiktaraf bagi menampung kehadiran pelancong yang kian bertambah. Kerajaan juga telah melancarkan Tahun Melawat Malaysia (TMM90) pada tahun 1990. Ia telah meningkatkan lagi kedatangan pelancong ke Malaysia sebanyak 7.44 juta pelancong.

Rancangan Malaysia Ke-6 (RMK-6; 1991-1995), telah menyaksikan kerjasama yang padu antara pihak kerajaan dan juga pihak swasta dalam membangunkan produk-produk pelancongan yang baharu. Seterusnya pada tahun 1994, kerajaan sekali lagi melancarkan Tahun Melawat Malaysia (TMM94) dengan menyajikan 170 program dan acara merangkumi kebudayaan, kesenian, kraf tangan, perayaan kebangsaan, sukan, konvensyen dan pameran. Selain itu, Pembukaan Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) yang telah menghubungkan di antara Bukit Kayu Hitam dengan Johor telah meningkatkan lagi rangkaian pengangkutan dalam negara sekaligus menjadi faktor kepada peningkatan kadar pelancongan dalam dan luar negara terutamanya Singapura dan juga Thailand.

Walau bagaimanapun, kerancakan perkembangan sektor pelancongan negara telah mengalami kemerosotan pada tahun 1997 dan 1998. Ia disebabkan oleh kejadian jerebu, penularan wabak virus nipah dan Coxsackie Sumatera. Selain itu, Krisis Kewangan Antarabangsa turut menjadi faktor kepada kemerosotan sektor pelancongan negara. Kerajaan telah mengambil langkah meningkatkan promosi dan menceburi pasaran baharu seperti China, India, Timur Tengah, Australia dan juga Eropah. Tujuannya untuk memastikan aliran masuk wang ke dalam negara dan mengurangkan aliran keluar matawang negara seterusnya memulihkan krisis ekonomi yang melanda negara. Kesannya, kedatangan pelancong pada tahun 1999 meningkat sebanyak 43.6% daripada jumlah kedatangan pelancong pada tahun 1998.

Perkembangan positif sebanyak 10% setiap tahun dapat dilihat menerusi sektor pelancongan negara. Namun, pada tahun 2003, sekali lagi kemerosotan berlaku apabila penularan wabak Sindrom Pernafasan Akut (SARS) yang teruk serta keadaan politik yang tidak stabil. Menerusi Rancangan Malaysia ke-8 (RMK-8; 2001-2005) kerajaan telah mensasarkan strategi asas dan dasar pembangunan pelancongan untuk mencapai pertumbuhan yang mampan disamping menjana pendapatan negara. Selain itu ia bertujuan untuk melindungi keseimbangan alam sekitar, ekonomi, sosial, dan isu-isu budaya dalam setiap aktiviti pelancongan. Pada tahun 2007, kerajaan sekali lagi telah melancarkan Tahun Melawat Malaysia (TMM07) bersempena dengan Sambutan Jubli Emas Kemerdekaan Malaysia yang ke-50. Sektor pelancongan negara sememangnya telah mengalami peningkatan dan perkembangan yang baik. Perkembangannya juga mendapat perhatian serius oleh pihak kerajaan sejak dahulu hingga kini.



Rujukan:
Sulong Mohamad dan Habibah Ahmad (2008). Pelancongan Malaysia: Isu pembangunan, budaya, komuniti dan persetempatan. Penerbit Universiti Utara Malaysia.

Badaruddin Mohamed & Nikmatul Adha Nordin (2007). Perancangan Pelancongan. Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka

No comments:

Post a Comment